Abu Syafiq nekad lawan saman KJ, mohon dana orang ramai bayar kos guaman

0
1

PENDAKWAH bebas, Ustaz Abu Syafiq nekad untuk melawan kes saman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadapnya berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah mengenai program vaksinasi Covid-19 kebangsaan. 

Abu Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Rasyiq Mohd Alwi, berkata dia nekad untuk melawan saman Khairy kerana yakin hantaran dan kenyataan mengenai program vaksin berkenaan mempunyai sandaran kukuh dan alasan yang sangat munasabah serta tidak langsung berunsur fitnah. 

“Hari ini saya dimaklumkan bahawa writ saman Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap saya baru diserahkan dengan betul. 

“Kes mahkamah kali ini agak berbeza kerana saya selalunya berada di posisi plaintif yang menyaman, namun kali ini saya adalah defendan yang disaman. Ini adalah saman isu berkaitan vaksin Covid-19 antara saya dengan KJ,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Selain memohon orang ramai menyokong tindakannya, Abu Syafiq turut mengharapkan orang ramai menyumbangkan dana untuk pembiayaan kos guamannya. 

“Saya juga memerlukan sokong anda semua. Saya mengharap semua rakyat yang terkesan dengan tindakan pengurusan vaksin dan Covid-19 secara tidak wajar untuk bangkit menegakkan kebenaran.

“Doakan saya juga agar menang dalam melawan saman yang tidak wajar ini. Mohon sokongan dana guaman untuk kes ini demi kebenaran. Akaun Maybank: 556057508614. Aswaja Darul Hijrah,” katanya. 

Pada 25 Januari lalu, media melaporkan, Khairy memfailkan saman fitnah terhadap Abu Syafiq di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Saman itu dibuat susulan tulisan dalam talian antara 20 Oktober tahun lepas hingga 10 Januari tahun ini berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Saman tersebut difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari lalu.

Menurut laporan, Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here