492,556 penagih masih bebas, tak terima rawatan sewajarnya.  

0
2

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menganggarkan 492,556 penagih atau penyalah guna dadah di Malaysia pada tahun 2021 yang masih bebas atau tidak dapat dikesan untuk menerima rawatan sewajarnya. 

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mengikut nisbah diguna pakai AADK, anggaran itu adalah daripada 123,139 penagih dan penyalah guna dadah dikesan pihak berkuasa tahun lalu. 

“Merujuk Kajian Prevalen Penagihan Dadah Tahun 2022, bagi setiap seorang penyalah guna dan penagih dadah yang dapat dikesan oleh pihak berkuasa, terdapat empat lagi yang masih bebas.  

“Berdasarkan nisbah hasil dapatan tersebut, pada 2021, mengikut statistik dikeluarkan AADK, seramai 123,139 penagih dan penyalah guna dadah dikesan oleh pihak berkuasa, maka anggaran penagih dan penyalahguna dadah yang masih tidak dapat dikesan dan menerima rawatan sewajarnya adalah 492,556 orang,” katanya.  

Hamzah berkata demikian pada majlis pelancaran perkhidmatan ‘Mobile Recovery Treatment’ bagi program rawatan dan pemulihan penagihan dadah AADK di Sungai Merab, Kajang, hari ini.  

Selain itu, Hamzah menjelaskan, pola penyalahgunaan dadah kebelakangan ini didapati telah beralih daripada dadah jenis organik ke jenis dadah sintetik.  

“Penggunaan dadah sintetik merangkumi 69.8 peratus daripada jumlah penyalah guna dan penagih dadah.  

“Lebih membimbangkan,  kumpulan belia berumur 19 hingga 39 tahun didapati meliputi 66 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalah guna dan penagih dadah tersebut,” katanya. 

Hamzah menambah, penagih dadah yang mempunyai komorbid iaitu individu menghidap dua atau lebih penyakit yang tidak berkaitan secara serentak juga menjadi cabaran kepada kerajaan untuk memulihkan mereka.  

“Selain dari jumlah yang membimbangkan, masalah penagihan dadah semakin kompleks dan mencabar untuk dirawat pulih terutama melibatkan kes dual diagnosis, iaitu mereka yang telah disahkan menagih dadah dan pada masa sama mempunyai masalah penyakit mental,” jelasnya.  

Mengenai program pemulihan AADK, Hamzah berkata, AADK melaksanakan program bagi merawat pulih berasaskan Model i-Pulih AADK melalui dua program iaitu Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dadah Dalam Komuniti (‘RPDK’).  

“Kedua-dua program ini dikendalikan 109 pejabat AADK Daerah dan Program Rawatan dan Pemulihan Penagihan Dadah Dalam Institusi (‘RPDI’) yang dijalankan di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara. 

“Pada tahun 2021, klien AADK dalam komuniti adalah 73,113 orang dan dalam institusi berjumlah 7,133 orang.  

“Setiap tahun, secara puratanya seramai 15,000 klien ini selesai menjalani proses merawat pulih masalah penagihan masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here