Teori ‘cash is king’ Najib dibidas, gambarkan seolah-olah rakyat boleh ‘dibeli’

0
2

AHLI Jawatankuasa Tertinggi DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menolak teori ‘cash is king’ Datuk Seri Najib Razak yang didakwa seolah-olah membayangkan bahawa rakyat boleh dibeli dengan wang ringgit.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor, berkata hakikatnya rakyat bukan hanya sekadar memerlukan ‘cash is king’ semata-mata, namun lebih daripada itu.

“Dalam debat Najib-Anwar baru-baru ini, Najib dengan bangga menyatakan bahawa ‘cash is king’ dan ‘king’ adalah rakyat.

“Saya ingin bertanya kepada Najib, adakah beliau maksudkan bahawa rakyat harus diberikan wang dan dengan wang, rakyat akan menjadi ‘King’ dalam pilihan raya nanti?.

“Adakah Najib cuba memberi gambaran bahawa rakyat boleh ‘dibeli’ dengan wang? Dan setelah rakyat diberikan wang, mereka akan memilih Umno/BN sepertimana yang mungkin dilakukan oleh Najib sewaktu pentadbirannya dahulu?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sememangnya rakyat memerlukan bantuan kewangan pada masa sukar ini, namun bantuan secara holistik adalah lebih relevan.

“Saya fikir, rakyat perlukan lebih dari sekadar ‘cash is king’. Contohnya, meskipun sebelum ini rakyat diberikan RM500 BRIM namun PRU14 telah menyaksikan majoriti rakyat menolak BN.

“Ini bermakna, rakyat tidak mudah dibeli dengan wang atau menggunakan teori ‘cash is king’ Najib semata-mata,” katanya.

Jelasnya, disebalik bantuan ‘cash’ semata-mata, rakyat perlukan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Katanya, peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal adalah amat mendesak dan bukan pemberian ‘cash’ semata-mata tidak mencukupi.

“Untuk mencipta peluang pekerjaan, pelaburan lebih besar harus digalakkan. Industri Malaysia harus lebih terbuka.

“Dan untuk membuka peluang-peluang ini, politik dan ekonomi Malaysia mestilah lebih bermaruah serta meyakinkan.

“Ia tidak mungkin dicapai jika Malaysia terperangkap dengan imej rasuah serta skandal kewangan yang membimbangkan sepertimana diwariskan era Najib,” katanya.

Selain itu, katanya, Malaysia juga harus mencipta identitinya sendiri menerusi pembangunan produk serta industri tempatan yang boleh diangkat ke mata dunia.

“Sebagai contoh, Malaysia boleh membangunkan sumber berasaskan pertaniannya sendiri dan harus meneroka potensi-potensi baru dalam teknologi terkini.

“Pada saya, perkara ini lebih mendesak untuk memulihkan kepercayaan rakyat dan masyarakat dunia terhadap Malaysia.

“Dengan itu juga, rakyat Malaysia dapat mengembalikan kemampanan ekonomi serta maruahnya semula jauh dari sekadar teori Najib ‘Cash is king’ dan ‘King’ ialah rakyat,” katanya.

Sebelum ini, menerusi Debat Perdana Najib-Anwar baru-baru ini, bekas Perdana Menteri itu mempertahankan pendekatan ‘cash is king’ yang dibawanya dengan menyifatkan langkah itu lebih mudah untuk membantu rakyat ketika susah.

Sambil merujuk ‘king’ itu adalah rakyat, beliau berkata, pengenalan pembayaran tunai secara terus kepada rakyat yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya sebelum ini dan diteruskan sehingga hari ini, berjaya menyegerakan bantuan kepada rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here