MESYUARAT Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju supaya kajian yang lebih mendalam dijalankan berhubung cadangan pengasingan kuasa pendakwa raya dan Peguam Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu memerlukan kajian mendalam kerana ia membabitkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan.
“Mesyuarat bersetuju supaya kajian yang lebih mendalam dilakukan kerana ianya melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata secara dasarnya mesyuarat juga bersetuju dengan Cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.
Namun, Perdana Menteri berkata, ia perlu dibawa untuk perbincangan dengan ahli Kabinet sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti-parti politik.
“Mesyuarat secara dasarnya bersetuju dengan Cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan RUU Sumbangan Politik.
“Skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawal seliaan sumbangan politik dipersetujui untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Ismail Sabri berkata, RUU itu penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik.
“Ia juga dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan Kerajaan,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menjadi agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak.
Katanya, keperluan menjadikan NFCC sebagai sebuah agensi berpusat adalah amat penting dan perlu disegerakan ke arah usaha yang lebih berkesan bagi membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan hasil kerajaan.
“Sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dengan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda bagi melaksanakan dasar tersebut.
“Dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak ini akan membolehkan agensi penguat kuasa lebih fokus kepada pelaksanaan siasatan bagi kes-kes jenayah khususnya jenayah kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Pelan tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun kerajaan akan diperkenalkan.
Beliau berkata, MyGovernance bertujuan meningkat dan memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu-isu kelemahan tadbir urus kerajaan termasuk badan berkanun.
“Pelan tersebut adalah berdasarkan 4 prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan.
“Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi pembangunan MyGovernance ini. Selaras dengan pembangunan tersebut, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI),” katanya. – Malaysiapost

