VETERAN DAP, Lim Kit Siang menjangkakan rumah Perdana Menteri dan menteri-menteri di Malaysia berkemungkinan akan dibakar oleh rakyat pada 2057 atau 2063.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, membuat andaian berkenaan susulan insiden penunjuk perasaan yang membakar rumah Perdana Menteri Sri Lanka minggu lalu, susulan krisis ekonomi yang melanda negara itu.
“Adakah mungkin rumah Perdana Menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?
“Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kit Siang juga mempersoalkan, sama ada Malaysia akan mengikuti jejak langkah Sri Lanka, yang mana pada suatu masa dahulu dikenali sebagai ‘permata’ yang berpotensi tinggi membangun di Asia Selatan, namun kini bakal diisytihar bankrap.
“Tetapi hari ini, Sri Lanka dijangkakan untuk diisytiharkan bankrap oleh badan penarafan selepas negara tersebut gagal membuat bayaran kupon ke atas dua bon, pada masa di mana negara tersebut juga telah kehabisan wang untuk membeli bahan bakar.
“Sebuah krisis ekonomi yang belum pernah dilihat sejak daripada kemerdekaan negara tersebut pada tahun 1948 telah membawa kepada kekurangan kritikal mata wang asing.
“Kini negara tersebut berhadapan dengan kekurangan petrol, ubat-ubatan, gas memasak, dan barang-barang keperluan lain, dengan bekalan elektrik terputus untuk masa yang panjang dan harga barang makanan melonjak tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Kit Siang berkata, Malaysia harus belajar daripada kesilapan negara-negara lain yang telah gagal seperti Sri Lanka dan Filipina.
“Kita belum menjadi sebuah negara gagal tetapi adakah kita sedang berada dalam trajektori menjadi sebuah negara gagal dalam tiga atau empat dekad yang akan datang?,” soalnya.
Terdahulu, media asing melaporkan, rumah keluarga milik bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dan Presiden Gotabaya Rajapaksa di Medamulana, Hambantota terbakar akibat diserang perusuh.
Memetik laporan Colombo Gazette, sekumpulan penunjuk perasaan antikerajaan bertindak membakar rumah pemimpin itu baru-baru ini ketika rusuhan ganas tercetus di seluruh Sri Lanka.
Kediaman dan premis perniagaan milik beberapa ahli politik dari parti pemerintah turut dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah dengan krisis ekonomi terburuk Sri Lanka sejak kemerdekaan negara itu pada 1948. – Malaysiapost

