KEMENTERIAN Kewangan memaklumkan harga runcit produk petrol RON97 naik 2 sen, manakala RON95 dan diesel tidak berubah bagi tempoh 19 hingga 25 Mei ini.
“Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 2 sen seliter iaitu daripada RM4.31 kepada RM4.33 seliter.
“Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan diesel kekal pada paras RM2.15 seliter,” menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan, bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.
“Sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan, sepertimana yang dapat dilihat pada harga runcit RON97 yang ditetapkan mengikut harga pasaran.
“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

