MESYUARAT Menteri Kuartet Covid-19 yang memasuki kali ke-16 hari ini dan juga yang terakhir dilihat berjaya mencapai matlamatnya dalam membuka semula negara secara berperingkat dan selamat.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Pengerusi Menteri Kuartet Covid-19, berkata matlamat itu berjaya dicapai hasil kerjasama erat semua pihak.

“Saya baru selesai pengerusikan Mesyuarat Kali Ke-16 Menteri Kuartet Covid-19 yang juga merupakan mesyuarat terakhir sejak kali pertama pada 14 September 2021.
“Diakui, untuk mencapai matlamat Kuartet khususnya membuka semula negara secara berperingkat dan selamat atau #ReopeningSafely dalam sembilan bulan ini bukan mudah.
“Namun alhamdulillah, hasil kerjasama erat semua pihak, negara kini telah beralih ke Fasa Peralihan Ke Endemik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, daripada 181 prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini, ia telah dikurangkan kepada satu SOP asas dan sembilan Garis Panduan.

“Semua sektor telah dibuka; setiap perayaan telah dibenarkan; pelitup muka tidak lagi perlu dipakai di tempat terbuka; dan imbas MySejahtera juga tidak lagi diwajibkan.
“Sebagai Pengerusi Mesyuarat Kuartet, saya ucap tahniah dan terima kasih semua ahli Kuartet khususnya tiga lagi Menteri tetap; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa,.

“Menteri-Menteri yang dilibatkan secara berkala, Majlis Keselamatan Negara dan semua 29 agensi serta semua pihak terlibat. Syabas semua!” katanya.
Secara keseluruhan Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 disertai oleh empat menteri tetap, 10 menteri hadir berkala dan membabitkan sebanyak 29 agensi serta 16 kali bermesyuarat. – Malaysiapost

