ANCAMAN penyakit berjangkit kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang kini dialami negara tidak boleh dipandang ringan, tegas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, rakyat tidak mahu satu lagi musibah penyakit melanda negara selepas begitu lama terpaksa ‘berperang’ melawan pandemik Covid-19.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merujuk kepada laporan terkini perkembangan penularan kes HFMD di Malaysia yang sehingga 14 Mei lalu dilaporkan sebanyak 31,661 kes.
Menurutnya, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), statistik berkenaan menunjukkan kes HFMD dilaporkan di Malaysia mengalami peningkatan 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kita tidak boleh memandang ringan ancaman penyakit berjangkit kaki, tangan dan mulut yang mudah menyerang golongan kanak-kanak ini.
“Jangkitannya jika tidak diputuskan dari sekarang dibimbangi lama-kelamaan mengundang penularan yang lebih teruk.
“Turut dikhuatiri penularan HFMD tidak terkawal boleh melumpuhkan operasi taska, tadika atau sekolah sekaligus mengulangi kemelut Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, implikasi buruknya sudah tentu kepada kanak-kanak yang sudah sekian lama terjejas pembelajaran akibat penutupan premis pendidikan.
“Berdasarkan maklumat kesihatan langkah memutuskan penularan HFMD sama seperti memutuskan penularan Covid-19.
“Termasuk mengamalkan kebersihan mencuci tangan menggunakan sabun dan mengasingkan antara pesakit dengan individu tidak dijangkiti.
“Begitu juga membersihkan permukaan yang terdedah kepada virus HFMD seperti permainan anak, lantai rumah serta tandas,” katanya.
Menurutnya, walaupun kesan jangkitannya dikatakan tidak seteruk Covid-19, tetapi masih berisiko menyebabkan komplikasi tidak diingini.
“Justeru, segala nasihat kesihatan bagi membendung jangkitan HFMD dalam kalangan kanak-kanak perlulah diberi perhatian serius oleh semua pihak.
“Kita tidak mahu satu lagi musibah penyakit melanda negara selepas begitu lama kita terpaksa ‘berperang’ melawan pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

