SEORANG lelaki maut akibat mengalami kecederaan parah di badan kerana dipercayai ditetak dan ditikam oleh sekumpulan individu termasuk seorang wanita dalam pergaduhan berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru, Bukit Mertajam Pulau Pinang, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kejadian 8.20 malam itu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan berlaku satu pergaduhan di kawasan tersebut di mana lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an telah mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di Hospital ketika menerima rawatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan terbuka berhampiran medan selera membabitkan mangsa dengan seorang wanita dan empat lelaki warga tempatan yang saling mengenali.
“Ekoran daripada pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan yang serius di badan dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam oleh orang awam sebelum disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shafee berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
“Punca pergaduhan juga masih dalam siasatan. Polis memohon orang awam yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan kejadian pergaduhan menggunakan senjata tajam yang diambil orang awam ketika melalui kawasan berkenaan.
Menerusi video itu, dapat dilihat seorang wanita memegang senjata tajam dipercayai parang serta mangsa yang parah berhampirannya sedang terbaring di jalan. – Malaysiapost

