PEMANDU kenderaan utiliti sukan (SUV) yang enggan memberi laluan kepada ambulans walaupun siren dibunyikan seperti video tular di media sosial, disahkan mengalami masalah pendengaran.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan mendapati pemandu SUV terbabit adalah seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun yang mengalami masalah pendengaran ‘tinnitus-acoustic neuroma’ sejak tiga tahun lalu.
“Lelaki itu masih lagi mendapatkan rawatan lanjut dari pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
“Sehubungan itu, Polis Daerah Kampar melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Nazri, kejadian dipercayai berlaku di KM292 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara.
Katanya, polis berjaya mengesan pemandu kenderaan itu hari ini.
“Justeru, pemandu serta pemilik kenderaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 37 saat yang dipercayai dirakam dari sudut arah ambulans berkenaan yang memaparkan insiden berkenaan telah tular di media sosial sehingga menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang turut berkongsi paparan video itu di Facebooknya.
Menerusi video itu, kelihatan Honda CR-V berwarna putih berkenaan yang dipandu di lorong kanan, dilihat menghalang laluan ambulans, meskipun siren dibunyikan, namun pemandu terbabit tidak mengendahkannya hingga memaksa ambulans memotong di laluan kiri. – Malaysiapost

