PERHIMPUNAN Agung Khas Umno hari ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
Usul itu diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan Umno dari 192 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Dengan kelulusan itu, MKT Umno akan diberi dua pilihan di bawah fasal 10.16 Perlembagaan Umno, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.
Terdahulu, draf pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno itu dibentangkan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan Umno.
Pindaan Perlembagaan tersebut melibatkan 3 Fasal iaitu Fasal 10.16, 15.3 dan 18.2 yang kesemuanya melibatkan penangguhan pemilihan di semua peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan.
Pindaan itu memberi kuasa kepada MKT Umno untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan tidak lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan atau tidak lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakansesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian.
Tarikh Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 adalah seperti yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan yang sama.
Sementara itu, Naib Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bangun menyokong usul pindaan itu.
Sejak 1990 sehingga kini, Umno sudah melakukan sebanyak tiga kali pindaan perlembagaannya, berkait dengan soal pemilihan parti.
Pada 1987, Presiden Umno ketika itu mencadangkan, supaya parti memperkenalkan sistem 10 undi bonus, bagi setiap pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.
Cadangan pindaan perlembagaan Umno bagi melanjutkan tempoh pemilihan parti itu, sebelum ini dibawa Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2021, Mac lalu.
Kemudian, MKT menerima usul pindaan itu pada mesyuarat 18 Mac lalu untuk dibawa ke PAU 2021, seterusnya diluluskan perwakilan pada 19 Mac lalu. – Malaysiapost

