Umno tiada DNA, baka cetus kekacauan – Zahid

0
1

UMNO tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, Presiden Umno itu berkata, parti lebih mementingkan soal kestabilan, kemakmuran serta keharmonian negara dan rakyat.

“Umno punya catatan membangunkan negara. Umno bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan. Umno berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan.

“Justeru, soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan, adalah agenda yang tidak pernah luput, daripada kamus perjuangan Umno,” katanya pada pembukaan Perhimpunan Agung Umno Khas (EGM) di Dewan Merdeka, WTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata, pendekatan Umno yang memberi ruang kepada muka-muka baharu pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah antara bukti parti itu tidak ketandusan pemimpin pelapis.

Katanya, ia juga memperlihatkan kesiapsiagaan Umno untuk memastikan obor perjuangan parti terus semarak menyongsong usia 100 tahun.

“Inilah kedinamikan politik Umno. Kita sentiasa bersedia membuat anjakan agar sesuai dengan tuntutan semasa. Kini, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun melebihi 12 juta orang atau mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi.

“Apakah Umno tidak cakna akan perkara ini? Apakah kita yang telah bertapak dan menjadi wakil rakyat sejak lima, enam, tujuh atau lapan penggal masih merasakan ini zaman kita lagi? ” soalnya.

Justeru beliau berkata, beberapa pendekatan termasuk pindaan Perlembagaan yang dicadangkan kali ini dapat memberi ruang kepada parti untuk mengorak langkah dan menyusun strategi yang berkesan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang tanpa bergelut dengan masalah dalaman.

Tambahnya, ia adalah amanah dan tanggungjawab ahli Umno terhadap kelangsungan parti.

“Malah menuntut kepada ahli Umno untuk berlapang dada dan berjiwa besar bagi memastikan parti terus mekar menuju ke satu abad perjuangannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here