Pindaan Perlembagaan Umno untuk selamatkan Zahid, dakwaan ‘sumbang’

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan pindaan Perlembagaan parti itu pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini, bukanlah untuk menyelamatkan dirinya.

Ahli Parlimen Badan Datuk itu, berkata dakwaan ‘sumbang’ itu sebagai tidak berasas memandangkan pindaan berkenaan merupakan manifestasi akar umbi Umno itu sendiri yang telah diangkat dan dipersetujui di Perhimpunan Agung Umno, lalu.

“Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian. Jangan kita buat-buat lupa, gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti Bahagian-Bahagian yang telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian masing-masing.

“Keputusan di peringkat akar umbi, dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan. Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi. Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu.

“Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban, namun bahtera jangan dibiarkan karam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Perhimpunan Agung Khas Umno, hari ini.

Ahmad Zahid turut menegaskan pindaan Perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan kepimpinan Pusat, Bahagian dan Cawangan, bagi setiap penggal pemilihan, untuk memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Dengan mengabsahkan pindaan hari ini, saudara-saudari sekalian adalah pasukan yang akan membawa parti menghadapi PRU ke-15. Inilah pasukan yang setelah jatuh bangkit dengan keazaman.

“Inilah pasukan yang meskipun tewas PRU ke-14 tetapi kekal berpaksikan kesetiaan; Inilah pasukan yang menggalas tanggungjawab parti dan mengharungi setiap cabaran;
Inilah pasukan yang tidak lari ketika bertempur di medan.

“Inilah pasukan yang tidak tunduk kepada ugutan; Inilah pasukan yang telah disiapsiagakan untuk menghadapi peperangan; Inilah pasukan yang kekal istiqamah dalam perjuangan dan inilah pasukan dalam siri pilihanraya kecil dan pilihanraya negeri yang telah menjana kemenangan,” katanya.

Hari ini, satu lagi sejarah bakal tercatat dalam tempoh 76 tahun penubuhan Umno apabila parti itu akan meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here