PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terharu kepulangannya daripada Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington disambut orang ramai.
“Alhamdulillah selamat sampai ke tanah air. Pulang ke Malaysia tercinta setelah melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington D.C.
“Tak sangka, ramai yang ada disini menyambut ketibaan saya. Hilang rasa penat selepas perjalanan yang panjang apabila dapat bertemu dengan semua,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.
“Mereka terdiri daripada kepimpinan Umno, para mahasiswa dan belia serta Keluarga Malaysia yang hadir dan turut mendoakan keselamatan kepulangan kami pagi ini.
“Alhamdulillah, kehadiran di AS bukan sahaja satu penghormatan, tetapi peluang yang diberikan untuk menyuarakan hasrat Malaysia dan ASEAN keseluruhannya demi menjamin keamanan dan keselamatan di rantau ini,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri menghadiri sidang kemuncak khas ASEAN-AS yang diadakan di Washington selama tiga hari bermula dari 12 hingga 13 Mei lalu, sempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN-AS. – Malaysiapost

