Isu MN: Henti salahkan Umno atau Presidennya – Shahril Hamdan

0
2

KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, meminta Ketua Penerangan Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin mengusulkan kepada kepimpinan Pas agar jawatankuasa induk Muafakat Nasional (MN) sepenuhnya bermesyuarat semula.

Menurutnya, ia perlu jika Pas betul-betul ingin meneruskan agenda penyatuan ummah melalui pakatan itu dan parti itu juga diminta berhenti menyerang pemimpin-pemimpin Umno di media sosial.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Khairil Nizam, semalam yang menyatakan bahawa Pas menjamin agenda penyatuan ummah akan diteruskan walaupun Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘menolak’ agenda itu.

Menurutnya, kenyataan itu tidak benar dan dilihat bukan mahu melihat penyatuan kerana terang-terang memburukkan pimpinan parti lain.

“Ia mengajak orang Umno dan Pas yang tertanya-tanya kenapa MN menjadi dingin untuk menyalahkan Presiden Umno.

“Sekaligus mengalih perhatian kepada punca sebenar kerenggangan – iaitu pendirian Pas berhubung pihak ketiga, dan tindakan-tindakan rentetan pendirian itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perlu diingat, usaha penyatuan ummah itu tidak bermula hanya selepas Umno kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tetapi sudah pun bermula semenjak awal lagi misalnya dengan solidariti dalam isu pelarian Rohingnya sebelum itu.

“Presiden Umno meneruskan kerjasama ini dengan perbincangan lebih terperinci untuk menyatukan kedua-dua parti melalui penyatuan ummah yang melahirkan kerjasama politik melalui ‘Muafakat Nasional’.

“Tetapi MN hanya subur sehingga tertubuhnya Perikatan Nasional (PN) di mana Umno tidak setuju untuk menyertainya tetapi Pas tanpa ‘notis’ kepada Umno, muncul sebagai parti komponen PN.

“Kisah ini sudah didedahkan berulang kali dan akan terus diulangi selagi Umno dipersalahkan. Kerana insiden inilah yang menjadi titik tolak kepada kerenggangan,” tegasnya.

Menurutnya, Presiden Umno tetap berjiwa besar, malah beliau tetap membuka pintu rundingan dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

Katanya, melalui Jawatankuasa Induk MN telah dipersetujui untuk parti masing-masing menggunakan lambang sendiri dan jentera masing-masing akan saling membantu dalam pilihan raya.

“Tetapi, di PRN Melaka permintaan mudah oleh Umno untuk Pas menggunakan lambang sendiri dan bukan lambang PN, pun tidak dapat dipenuhi oleh Pas. Isyarat jelas dari Pas: PN lebih utama.

“Di PRN Johor, Setiausaha Agung Umno telah mendedahkan bahawa Pas tidak memohon untuk bekerjasama bersama walaupun Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pas akan berbincang bersama Umno untuk membentuk kerjasama.

“Sebaliknya, siapa lupa, apa yang dilemparkan terhadap Presiden Umno adalah ‘Itik patah kaki, ahli sihir’. Umno pula diminta untuk direhatkan dan juga dihukum pengundi oleh Presiden PAS,” katanya.

Menurutnya, setelah semua komen dan serangan lain yang dilemparkan, Umno masih berjiwa besar di beberapa negeri dan masih mahukan kerjasama MN.

“Tetapi dengan setiap kenyataan seperti kenyataan semalam, dalam keadaan di mana PAS masih gemar menyalahkan dan merendahkan kami, bukankah PAS yang menjauhkan agenda penyatuan dari menjadi realiti?

“Kami tak mencari sengketa. Tapi jika sengketa yang datang, kami akan terpanggil respon,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here