IBU kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dirakam memandu kereta dengan membawa dua kanak-kanak lain seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial sejak kelmarin dilaporkan menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mohammad Shofee Tayib, berkata pihaknya mengesan video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta Perodua Kancil warna merah pada Selasa lalu.
Menurutnya, berdasarkan video berkenaan terdapat dua kanak-kanak lain turut berada di bahagian tempat duduk penumpang hadapan kereta terbabit.
“Berikutan kejadian itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Pontian menjalankan risikan terperinci dan mendapati kejadian berlaku jam 7 pagi Selasa lalu di Pekan Nanas ketika kanak-kanak terbabit bersiap untuk ke sekolah.
“Video berkenaan dipercayai dirakam oleh kakak kanak-kanak terbabit yang berusia 11 tahun menggunakan telefon milik ibunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kereta dipandu oleh anak lelaki pasangan terbabit bersama dua lagi anak mereka iaitu seorang perempuan berusia enam tahun dan lelaki berusia tiga tahun.
Mohammad Shofee, berkata berikutan kejadian itu wanita berkenaan bersama tiga anaknya tampil menyerah diri ke IPD Pontian, jam 10 pagi, hari ini.
Katanya, ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan mengakui akaun TikTok yang memaparkan video berkenaan juga adalah miliknya.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Ibu bapa atau penjaga yang membenarkan kanak-kanak memandu kenderaan di bawah umur boleh didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001.
“Selain itu, pemilik kenderaan juga boleh disaman mengikut Seksyen 39 (5) APJ 1987, ” katanya. – Malaysiapost

