TMJ gesa kerajaan Johor beri keutamaan isu penderaan kanak-kanak

0
1

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim menggesa Kerajaan Negeri Johor memberi keutamaan kepada isu penderaan kanak-kanak dan menjadi contoh dalam meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu berkenaan.

Baginda bertitah, agensi-agensi yang terlibat juga harus melaksanakan dasar baharu bagi menjamin keselamatan kanak-kanak.

“Saya menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk memberi keutamaan kepada isu penderaan kanak-kanak dan menjadi contoh dalam meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu ini.

“Pada minggu depan, saya akan melawat pusat temuduga kanak-kanak (CIC), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK), Johor Bahru,” titahnya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Baginda juga berkenan memberikan sumbangan untuk menyediakan sebuah CIC di Ibu Pejabat Polis (IPD) Muar untuk digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menyiasat dan menyelesaikan kes-kes penderaan kanak-kanak.

Tunku Ismail sebelum ini dilaporkan menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down, Bella.

Baginda turut menitahkan untuk memastikan kes penderaan kanak-kanak seperti Bella tidak berulang, undang-undang bagi Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dipinda segera.

Antara saranan Tunku Ismail penambahbaikkan dilakukan merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here