YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kemanusian oleh rejim Zionis susulan pembunuhan wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh ketika membuat liputan di kem pelarian Jenin, Tebing Barat, semalam.
Timbalan Pengerusi Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa YADIM, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, kematian wartawan wanita itu adalah rentetan dari senarai panjang pembunuhan terancang dan disengajakan Israel.
“Dunia digemparkan dengan pembunuhan seorang wartawan wanita dari stesen TV antarabangsa Al-Jazeera bernama Shireen Abu Akleh yang sedang membuat liputan serbuan tentera Zionis di penempatan pelarian Jenin semalam.
“Mendiang yang berketurunan Arab Kristian dan merupakan pemegang kerakyatan Amerika Syarikat dan Palestin itu dilaporkan ditembak tepat di kepala walaupun berpakaian jaket perisai tubuh dan helmet serta tertera perkataan “PRESS” dengan jelas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kerajaan haram Israel yang bukan saja memangsai warga Palestin yang sedang ditindas, malah sesiapa sahaja yang cuba mempertahankan kebenaran.
“Kita tidak lupa bagaimana sebelum ini seorang gadis remaja aktivis kemanusian dari Amerika Syarikat, Rachel Corrie dilanggar dan digilis oleh jentolak Zionis ketika mendiang cuba mempertahankan rumah sebuah keluarga Arab Palestin dari dirobohkan pada tahun 2003.
“Kita juga masih ingat bagaimana Rouzan al-Najjar seorang paramedik lapangan syahid ditembak oleh penembak tepat tentera Zionis ketika gadis Palestin itu giat membantu mangsa cedera ketika protes di sempadan Gaza-Israel pada 2018,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu jelas menunjukkan Zionis takut dengan kaum hawa berhati waja, yang datang dari pelbagai keturunan, agama dan malah berbeza negara serta peranan masing-masing demi untuk membantu warga Palestin yang sedang dijajah sejak sekian lama.
“Bagi mewakili warga YADIM yang khususnya dan juga warga Malaysia secara amnya, saya mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kemanusian yang hina serta keji oleh rejim Zionis yang dilaknati tuhan sejak 1948,” katanya. – Malaysiapost

