Kerajaan Perak, USAS tanggung kos pengurusan jenazah lima mangsa kemalangan

0
2

KERAJAAN negeri Perak bersama pihak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) akan menanggung segala kos pengurusan jenazah lima mangsa kemalangan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, selepas Terowong Menora, Perak, tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata selain pengurusan jenazah, penginapan keluarga mangsa sepanjang berada di Kuala Kangsar juga diuruskan.

Beliau yang turut menziarah keluarga mangsa yang tiba di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, hari ini bagi pengurusan jenazah berharap keluarga mangsa tabah dalam menghadapi dugaan yang berlaku.

“Segala penginapan dan pengurusan ahli keluarga serta pengebumian akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Perak dan pihak USAS,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, lima mangsa yang rentung dalam kemalangan Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora tengah malam tadi merupakan pelajar USAS.

Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USAS, Dr Ahmad Zaki Hasan mengesahkan kesemua mangsa merupakan penuntut di universiti berkenaan.

Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang merupakan pemandu kenderaan dan Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan.

Sementara Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here