OPERASI pub dan kelab malam berlesen yang dikategorikan dalam senarai negatif Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan penularan wabak Covid-19, kini dibenarkan kembali beroperasi.
Ia susulan pengumuman kerajaan pada 27 April lalu berhubung senarai negatif yang dibenarkan kembali beroperasi bermula 15 Mei ini.
Sehubungan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan Protokol Operasi Pub dan Kelab Malam Berlesen yang akan mula berkuatkuasa pada 14 Mei ini.
Protokol tersebut telah dimuatnaik di laman sesawang MKN di asset.mkn.gov.my.
“Untuk makluman, operasi pub dan kelab malam berlesen yang dikategorikan dalam senarai negatif ini telah dihentikan operasi selama hampir dua tahun akibat Covid-19.
“Berdasarkan kepada pengumuman daripada kerajaan tersebut, ia turut memberi isyarat kepada industri-industri ini untuk turut mula beroperasi semula.
“Setelah mendapat pandangan Kementerian Kesihatan (KKM), KPKT telah mengeluarkan Protokol Pengoperasian Pub dan Kelab Malam Berlesen tersebut sebagai rujukan kepada semua pemain industri berkaitan,” kata KPKT menerusi kenyataan hari ini.
Susulan itu KPKT meminta semua pemain industri pub dan kelab malam berlesen dapat mematuhi perkara penting digariskan dalam protokol tersebut bagi mengekang penularan kes positif Covid-19 dalam Fasa Transisi ke Fasa Endemik ini.
Sementara itu menerusi poster dikongsi KPKT, protokol tersebut membenarkan kapasiti premis 100 peratus ruang tari.
Selain itu pelanggan perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 dan premis perlu mempunyai pengudaraan serta ventilasi yang baik. – Malaysiapost




