PAS bukan semata-mata pertubuhan politik yang memperjuangkan Islam dari aspek Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan sahaja, tegas Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Ahmad Yahya.
Menurutnya, Pas memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.
Justeru, beliau berkata Dewan Ulamak Pas Pusat berpendirian bahawa, cadangan supaya parti itu dibubarkan seperti kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan adalah tidak relevan.
“Ini kerana Fasal 3, 5, 6 dan 7 Perlembagaan Pas (Pindaan 2020) terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Fasal 3.1 Perlembagaan Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahmad yang mencadangkan Pas dibubarkan kerana Umno turut membawa wadah perjuangan Islam dan sudah meminda perlembagaan parti itu pada 2019.
Menurutnya, Pas menjadikan Islam dan sumber-sumber hukumnya sebagai dasar dan panduan berpolitik dan berorganisasi sebagaimana dituntut oleh kehendak Perlembagaan Pas.
“Bahkan menjadi tanggungjawab kepada semua ahli Pas untuk taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar Pas sebagaimana dituntut oleh Fasal 85(1) Perlembagaan Pas (Pindaan 2020),” katanya.
Beliau berkata, Dewan Ulamak Pas Pusat turut menzahirkan rasa syukur dengan perubahan yang telah dibuat oleh Umno itu, kerana peruntukan Fasal 3.1 Perlembagaan Umno adalah selari dengan apa yang diperjuangkan Pas sejak awal penubuhannya pada tahun 1951.
“Dewan Ulamak Pas Pusat bersedia untuk membantu Umno bagi memastikan perubahan yang dibuat bukan sekadar di atas kertas sahaja dan Umno benar-benar jujur untuk menegakkan Islam seperti yang diperjuangkan oleh Pas,” katanya. – Malaysiapost

