Lompat parti demi rakyat, itu pemikiran seorang ‘elit’ – Shahrir Samad 

0
1

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ‘katak politik’ selepas mengeluarkan kenyataan mengenai pemimpin ‘lompat parti’. 

Beliau berkata, dakwaan Hamzah yang mana pemimpin keluar daripada parti politik kerana mahu berkorban demi rakyat, hanya pemikiran seorang ‘elit’. 

“Semuanya ‘demi rakyat’ walaupun yang dikhianati itu adalah parti dan ahli-ahli parti yang berusaha dan menyokongnya pada pilihanraya yang lalu. Mandat rakyat tidak pun dihormati. 

“Angkuh betul pendapat ‘elitist’ ini. Apabila bertindak tanpa mandat, mendakwa ianya ‘demi rakyat’ pula,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini. 

Shahrir berkata, kenyataan Hamzah itu belum dapat dibuktikan kerana dalam dua Pilihan raya Negeri (PRN) hanya di PRN Johor sahaja ‘katak politik’ memenangi semula kerusi ditandingi. 

“(Datuk) Mas Ermieyati, walaupun diwar-warkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka, kalah juga di PRN Melaka. 

“(Datuk Seri) Idris Harun, ‘katak politik’ yang menjatuhkan kerajaan negeri Melaka, terkucil juga di PRN Melaka. 

“PN (Perikatan Nasional), parti yang diasaskan oleh mereka yang melompat keluar dari Umno, tidak juga mendapat sambutan rakyat Melaka dan Johor,” ujarnya. 

Terdahulu, Hamzah dilaporkan menyifatkan pemimpin politik yang keluar masuk parti sama sebagai bukan isu baharu dan dianggapnya ‘demi menjaga kepentingan rakyat’. 

Katanya, situasi itu sudah berlaku sekian lama dan ia demi melindungi kemaslahatan dan kepentingan rakyat seperti dilakukan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Hamzah berkata, kepentingan rakyat menjadi tunjang utama dalam tindakan yang dilakukan oleh ahli dan pemimpin parti politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here