AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa).
Keputusan itu dibuat setelah parti diwakilinya, Parti Warisan Sabah (Warisan) tumbang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu.
Memetik laporan FMT semalam, beliau berkata tindakan meletak jawatan dilihat jalan terbaik untuk memastikan kemajuan organisasi sukan itu tidak terjejas.
“Dengan semua yang sedang berlaku termasuk kesibukan saya dalam urusan politik, saya rasa perlu berehat buat sementara waktu.
“Oleh itu, saya mahu umumkan peletakan jawatan sebagai presiden Safa berkuatkuasa serta-merta hari ini (semalam),” katanya.
Peter sebelum ini mengetuai Safa sejak hujung 2018 dan antara kejayaannya dalam Safa adalah membawa keluar persatuan itu daripada kemelut hutang.
Selain itu, di bawah kepemimpinannya, skuad Sabah menjuarai Liga Perdana 2019 dan beraksi dalam saingan Liga Super tahun ini.
Peter adalah Naib Presiden Warisan dan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah di bawah kerajaan Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Malaysiapost

