PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-16 di Istana Negeri di Kota Kinabalu, sebentar tadi.
Hajiji, 65, mengangkat sumpah jawatan itu pada jam 10.38 pagi di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, sekali gus menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak 1990.
Hajiji sebelum ini menjawat jawatan sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Belia dan Sukan negeri, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Kementerian Kewangan sebelum menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Upacara angkat sumpah turut dihadiri isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga Adun bebas.
Turut mengangkat sumpah adalah tiga timbalan ketua menter iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Presiden STAR) dan Datuk Dr Joachim Gunsalam (Naib Presiden PBS).
Bung Moktar iaitu Adun Lamag turut memegang portfolio sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan; manakala Jeffrey (Adun Tambunan) sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah dan Dr Joachim (ADUN Kundasang) sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.
Dua lagi menteri kanan yang mengangkat sumpah ialah Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga Adun Karanaan sebagai Menteri Kerja Raya Sabah.
Setiausaha Agung PBS yang juga Adun Tamparuli, Datuk Jahid Jahim sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Turut hadir upacara itu ialah pegawai tinggi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Semalam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disertai BN, PN dan PBS bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi PRN dengan 38 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), berbanding Warisan Plus mendapat 32 kerusi, manakala Bebas (3).
GRS juga sebulat suara menamakan Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu. – Malaysiapost

