PRN Sabah: Bung Moktar, Jeffrey dijangka isi jawatan Timbalan Ketua Menteri

0
2

KABINET baharu kerajaan Sabah dijangka diketahui selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri, jam 10.30 pagi ini.

Seperti diumumkan semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Majlis itu turut disaksikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selaku parti yang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Berdasarkan kebiasaan sebelum ini, Kabinet baharu yang diketuai Hajiji dijangka turut menamakan tiga jawatan Timbalan Ketua Menteri yang turut memegang jawatan menteri, selain enam atau tujuh lagi menteri.

Setiap menteri pula mempunyai satu atau dua pembantu menteri.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Menteri, Hajiji dijangka meletakkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mewakili Bumiputera Islam.

Turut dijangka dilantik ke jawatan itu ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, bagi mewakili masyarakat Bumiputera Bukan Islam.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri adalah mewakili masyarakat Cina, namun disebabkan tiada Adun masyarakat itu dalam kerajaan GRS yang menang pada PRN Sabtu lalu, ada dua kemungkinan boleh berlaku.

Pertama, Hajiji mungkin mewujudkan semula Adun Dilantik dengan mengambil pemimpin daripada parti atau individu yang mewakili masyarakat Cina seperti MCA dan Parti Maju Sabah (SAPP) atau Parti Bersatu Sabah (PBS).

Kedua, Hajiji mungkin mengosongkan kuota Timbalan Ketua Menteri mewakili masyarakat Cina dan hanya melantik seorang menteri untuk kuota berkenaan daripada parti yang tiada jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Bagi jawatan menteri, pemimpin senior seperti Datuk Masidi Manjun (PN-Bersatu), Datuk Joniston Bangkuai (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS), Datuk Jahid Jahim (PBS), Datuk Ellron Angin (PN-Star), Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Umno) dan Datuk Mohd Ariffin Arif (PN-Bersatu) dijangka membarisi Kabinet baharu.

Hajiji yang juga Adun Sulaman dijadual melapor diri di pejabat Ketua Menteri di Tingkat 32, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) selepas selesai Majlis Angkat Sumpah di Istana Negeri, hari ini. – Malaysiapost