Bukan mudah bertanding ketika hadapi kecederaan – Dhabitah 

0
2

RATU terjun negara, Nur Dhabitah Sabri mengakui bertanding di temasya Sukan SEA pada ketika sama menghadapi kecederaan bukanlah sesuatu yang mudah. 

Namun di sebalik cabaran tersebut, atlet berusia 23 tahun itu telah menyumbang dua pingat emas buat Malaysia dalam temasya kali ini. 

Pertama menerusi acara 1 meter papan anjal individu wanita pada 8 Mei lalu yang juga emas pertama Malaysia pada temasya kali ini. 

Emas kedua diraih menerusi acara 10 meter platform seirama wanita bersama rakan penerjun elit, Datuk Pandelela Rinong semalam. 

“Saya tidak dapat menjelaskan betapa bangganya saya dengan kita semua. Kami berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk pertandingan ini di sebalik segala kepayahan dan cabaran kami hadapi. 

“Agak memberi tekanan kepada jurulatih tetapi mereka bertenang dan membantu kami mencapai semua pingat emas,” tulis atlet kelahiran Kuala Lumpur itu di Facebooknya. 

Nur Dhabitah turut mengucapkan terima kasih kepada bekas rakan sepasukan, Leong Mun Yee yang kini bergelar pengurus pasukan yang menjaga mereka dengan baik sepanjang berada di Hanoi. 

“Kepada @pandelela saya sangat gembira dengan persembahan kami. Menghadapi kecederaan dan  bertanding bukanlah mudah tetapi kami berjaya memberi yang terbaik dan merangkul pingat emas. 

“Tidak sabar untuk melakukan lebih banyak penerjunan dengan anda! 

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada MSN, ISN & OCM kerana menyokong perjalanan kami sehingga Sukan SEA,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here