Pemberian dos pertama PICKids dilanjut hingga 31 Mei

0
1

MESYUARAT Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memutuskan untuk melanjutkan tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama bagi kanak-kanak ke 31 Mei, berbanding pada 15 Mei sebelum ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan, berkata pelanjutan tarikh itu mengambil kira sambutan Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Bagaimanapun, keputusan menetapkan tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera iaitu pada 8 Mei 2022, dikekalkan dan tempahan janji temu tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut.

“Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei 2022, boleh meneruskan janji temu yang dipilih,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, KKM berkata, bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei, tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik.

Katanya, ibu bapa boleh membawa anak mendapatkan vaksinasi Covid-19 secara walk-in di Klinik Kesihatan KKM.

Tambahnya, ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei, pautan tempahan janji temu dalam aplikasi MySejahtera tidak akan diberikan.

“Bermula 16 Mei 2022 hingga 31 Mei 2022, vaksinasi dos pertama bagi kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun akan diberikan di Klinik Kesihatan KKM secara walk-in.

“Bagi ibu bapa yang telah mendaftar anak mereka sebelum 8 Mei 2022 untuk vaksinasi Covid-19 tetapi tidak mendapat pautan janji temu, mereka juga digalakkan untuk membawa anak mereka mendapat vaksinasi di Klinik Kesihatan KKM yang berdekatan secara walk-in selewat-lewatnya pada 31Mei 2022,” katanya.

Dalam masa sama, pemberian vaksin di Klinik Kesihatan KKM adalah bergantung kepada bekalan vaksin yang tersedia di sesebuah Klinik Kesihatan dan secara first come basis. 

Sehubungan itu, sekiranya bekalan vaksin pada hari tersebut telah habis, ibu bapa peru datang semula pada hari berikutnya.

“Selepas 31 Mei 2022, kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin Covid-19 secara percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids)

“Mereka perlu mendapatkan vaksin Covid-19 yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here