PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kesedihan berhubung kejadian kemalangan yang mengorbankan lima mangsa di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, selepas Terowong Menora, Perak, tengah malam tadi.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa serta berharap mereka tabah menhadapi dugaan berkenaan.
“Sedih menerima perkhabaran lima pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Perak maut dalam nahas jalan raya malam tadi.
“Berdasarkan maklumat yang tular kesemua mangsa yang rentung merupakan pelajar lelaki berusia berusia antara 19 hingga 23 tahun.
“Saya dengan perasaan penuh dukacita mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan berharap agar mereka bertabah,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, sebagai seorang bapa pastinya beliau sedikit sebanyak memahami perasaan ibu bapa dan ahli keluarga mangsa yang terlibat.
“Namun benarlah kata-kata berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kehilangan yang tidak terjangka seperti itu sangat memilukan.
“Saya mendoakan semoga Allah SWT merahmati roh kesemua anak-anak muda yang terkorban itu,” katanya.
Dalam hantaran sama, Ahmad Zahid turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasalah berhati-hati ketika memandu bukan saja demi keselamatan diri, malah untuk insan lain.
Terdahulu, media melaporkan, lima mangsa yang rentung dalam kemalangan Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora tengah malam tadi merupakan pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USAS, Dr Ahmad Zaki Hasan mengesahkan kesemua mangsa merupakan penuntut di universiti berkenaan.
Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang merupakan pemandu kenderaan dan Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan.
Sementara Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang. – Malaysiapost

