PH boleh jadi blok parti kuat jika ikhlas berjuang untuk rakyat – Rafizi

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=550043319824368&set=pb.100044561133929.-2207520000..

BEKAS Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa Pakatan Harapan (PH) bakal menjadi blok parti terbesar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika berjaya membuktikan keikhlasan perjuangan mereka kepada rakyat.

Calon Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, PH perlu yakin kepada rakyat kerana rakyat tidak bodoh untuk menilai.

“Dalam tempoh empat lima bulan dalam setahun ini, kalau kita betul-betul ikhlas dan tunjuk kita sedar kesilapan dan memberi isyarat jelas bahawa kita tidak pentingkan kedudukan, InsyaAllah PH akan jadi blok terbesar selepas PRU akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.

Program forum itu turut disertai Datuk Seri Saifuddin Nasution, lawan Rafizi dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang bakal berlangsung bermula 13 Mei ini.

BACA LAGI: Rafizi dakwa wujud 54,000 pemilih meragukan dalam PKR

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR adalah individu yang menentang kuat gagasan ‘Khemah Besar” yang diusahakan untuk menyatukan semua parti pembangkang bagi melawan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Bagaimanapun Saifuddin menyifatkan tindakannya berunding dengan parti-parti lain termasuk Umno adalah dalam pengetahuan semua pimpinan PH.

Menurut Setiausaha Agung PKR itu, ia bagi membolehkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu dan tidak timbul isu beliau ‘pandai-pandai’ bertindak sendiri untuk melakukannya secara sulit.

“Apabila kerajaan PH jatuh, parti-parti dalam (komponen) ada berbincang dan keputusan diambil untuk beri tugasan kepada pemimpin tertentu (untuk berunding cari sokongan majoriti). Ia keputusan kolektif PH.

“Kita laporkan proses (hasil rundingan) secara terbuka dalam mesyuarat parti tanpa ada selindung bahawa ini operasi sulit,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Rafizi Ramli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here