Dakwa KDA FC tak bayar gaji, tunggu notis saman – Sanusi

0
2

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dalam proses mengeluarkan notis saman kepada pihak yang menularkan kononnya pasukan itu tidak membayar gaji pemain hingga menjadi punca prestasi tidak menentu dalam Liga Super 2022. 

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pengurusan KDA FC telah menafikan perkara tersebut kepadanya semasa ditanya tentang khabar angin tersebut. 

“KDA FC menyatakan tiada tunggakan gaji dan mereka sedang menyediakan notis saman kepada pihak-pihak yang menularkan kononnya KDA FC tidak bayar gaji pemain. 

“Tunggu surat saman dan selamat menjawab di mahkamah kepada pihak-pihak yang gatal tangan,” kata Menteri Besar Kedah itu di Wisma Darul Aman hari ini, lapor Cakap Sukan. 

Muhammad Sanusi berkata, beliau juga tidak gembira dengan prestasi semasa skuad Hijau Kuning dan berharap KDA FC dapat melakukan sesuatu untuk meningkatkan kembali prestasi pasukan. 

Sebagai Presiden KFA, tegasnya, beliau tidak akan masuk campur dan menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan pasukan untuk menguruskan kelab. 

“Saya juga seperti peminat yang lain, kita mahu Kedah menang.  

“Saya difahamkan akan ada rundingan dengan pemain. Mungkin pemain-pemain yang cedera dan lambat pulih akan dipertimbangkan kedudukannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here