POLIS menahan seorang guru taska berusia 24 tahun selepas dipercayai mendera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah taska di kawasan Tampoi, Johor Bahru, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata pihaknya pada jam 3.17 petang semalam menerima laporan polis berkaitan video tular di media sosial berkaitan seorang guru taska mendera anak asuhan.
Menurutnya, mangsa adalah kanak-kanak hyperaktif dan mempunyai masalah lambat pertuturan yang ditempatkan Ibu bapanya di taska tersebut yang merupakan pusat jagaan untuk kanak-kanak normal dan kanak-kanak khas.
“Hasil siasatan polis melalui rakaman kamerea litar tertutup (CCTV) taska berkenaan, mendapati suspek telah menarik telinga dan menekup bantal ke muka mangsa.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah mengalami kesan lebam di telinga kanan dipercayai didera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu pihak polis berjaya menahan suspek semalam kira-kira jam 9 malam dan kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi dan menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122,” katanya. – Malaysiapost

