1,499 terbabit sindiket penipuan e-dagang ditahan dalam Ops Merpati

0
1
grafik

SEPANJANG tempoh 13 hingga 30 April lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah berjaya menumpaskan enam ‘Calling center’ membabitkan penahanan 66 ahli sindiket penipuan e-dagang dalam operasi khas dinamakan Ops Merpati.

Pengarah JSJK Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata turut berjaya ditahan adalah 1,433 pemilik akaun bank yang menjadi ‘keldai akaun’ dan bersekongkol dengan sindiket jualan atas talian berkenaan.

Menurutnya, operasi khas itu dilancarkan susulan kegiatan penipuan e-dagang yang dikesan semakin aktif.

“Sepanjang 2021, sejumlah 9,574 kes penipuan e-dagang dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM74,083,455 manakala bagi suku tahun ini (Januari hingga Mac) sejumlah 2,070 kes penipuan e-dagang dicatatkan dengan kerugian sebanyak RM26,677,133.

“Bagi menangani penipuan ini, JSJK telah melancarkan Ops Merpati (penipuan e-dagang) Khas di seluruh Malaysia bermula 13 hingga 30 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan yang berjaya dilakukan telah dan akan dituduh dalam masa terdekat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), 424KK dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil.

Menurutnya, berdasarkan statistik Selangor merekodkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 224 orang, Kuala Lumpur (180), Johor (166), Perak (126), Sarawak (108), Sabah (103), Melaka (101), Pulau Pinang (97), Pahang (94), Negeri Sembilan (89), Kedah (81), Terengganu dan Kekantan masing-masing 50 tangkapan, manakala Perlis seramai 30 tangakpan.

“Dalam usaha mencegah kes-kes sebegini dari terus berleluasa, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak terjerumus sebagai mangsa kepada sindiket penipuan e-dagang,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here