AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mahu anak Ahli Parlimen yang terbabit dalam menyalahgunakan kuasa perkhidmatan polis sebagai pengiring di jalan raya, turut dikenakan tindakan.
Steven berkata, bukan hanya anggota polis yang dikenakan hukuman namun individu atau pihak yang tiada kaitan, yang mengambil kesempatan itu juga harus disiasat dan diambil tindakan agar tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan perkhidmatan itu.
“Anak Ahli Parlimen (MP) guna outrider polis, PDRM kata 2 anggota polis trafik sedang disiasat dan jika bersalah akan dihukum.
“Syabas PDRM ambil tindakan tegas. Tapi soalan saya, bagaimana pula dengan anak MP yang ternyata telah salah guna kuasa?
“Kalau ikut jawapan Parlimen kepada saya pada Mac 2022, anak MP tidak termasuk dalam senarai yang layak dapat perkhidmatan outrider polis.
“Jangan hanya hukum anggota polis, ini kena hukum sekali geng VVIP dan anak pinak sanak saudara mereka yang buat semacam mereka ni Raja!,” katanya di Facebook.
Sehubungan itu, Steven sekali lagi berkata, selain Raja-raja, semua ahli politik tidak perlu menggunakan pengiring polis.
“Jangan bazir tenaga kerja PDRM. Jalan teruih, keluar rumah awal, tak perlu guna outrider polis,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Polis Pulau Pinang telah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis susulan video anggota polis trafik mengiringi orang awam yang tular di media sosial.
Ia susulan satu rakaman video tular berdurasi 20 saat telah dimuat naik oleh pemilik akaun ‘anwarazeez’ memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh anggota trafik menggunakan motosikal milik PDRM di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang. – Malaysiapost

