BEDAH siasat yang dijalankan terhadap seorang tahanan dalam lokap Balai Polis Seri Alam, Johor yang meninggal dunia pada 8 Mei lalu mendapati mangsa positif Covid-19.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Seri Azri Ahmad, berkata bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru, semalam juga mendapati tiada sebarang kecederaan dikesan pada mangsa.
“Ujian pengesanan Covid-19 telah dibuat ke atas simati dan berkeputusan positif.
“Punca kematian adalah disebabkan Covid-19 pneumonia (radang paru-paru) dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS, Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut. – Malaysiapost

