KHIDMAT pengiring polis sepatutnya dihadkan kepada individu yang mempunyai keperluan keselamatan seperti Perdana Menteri, Menteri Kanan serta individu yang benar-benar layak.
Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Zaidel Baharuddin, berkata sebarang iringan atas kapasiti luar daripada tugasan rasmi wajib mendapat kelulusan Menteri atau Ketua Polis Negara.
Namun, katanya, ia mestilah dengan alasan kukuh serta melibatkan kepentingan awam.
“Isu ini bukanlah asing. Pengguna jalanraya sebenarnya sudah biasa terserempak dengan iringan polis ke atas kenderaan peribadi yang dilihat bukan atas kapasiti rasmi.
“Ia termasuk kenderaan kementerian yang tidak kritikal yang memasang lampu biru mengarahkan pengguna jalan raya untuk memberi laluan semasa kesesakan.
“Kami menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk sekali lagi mengeluarkan, mengumumkan serta menguatkuasakan dengan tegas akan garis panduan serta peraturan penggunaan iringan trafik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berpandangan adalah lebih elok orang kenamaan (VIP) seperti menteri dapat merasai sendiri kesulitan yang dialami orang ramai semasa menempuh kesesakan lalu-lintas.
Beliau berkata, jika menteri dan orang kenamaan mahu mengelak kesesakan lalu-lintas di mana-mana jalan raya mereka wajar merancang perjalanan masing-masing seperti orang lain.
“Kami juga ingin berpesan kepada bapak menteri sekelian yang banyak tinggal di sekitar Lembah Klang – kalau tidak mahu lewat ke pejabat atau program, keluarlah awal, atau naiklah pengangkutan awam seperti LRT dan MRT.
“Bagus juga kalau menteri dapat rasa pengalaman kesesakan lalu-lintas akibat dari kerja-kerja pembinaan lebuh raya yang tak siap-siap bertahun-tahun dan jaringan pengangkutan awam yang tidak efektif,” katanya.
Justeru, Zaidel berkata, kerajaan dan pihak berkuasa wajar mengehadkan penggunaan khidmat anggota polis sebagai juruiring kepada orang politik.
Katanya, masa anggota keselamatan tidak wajar dibazirkan untuk tugasan tidak munasabah.
“KDN juga mesti mengeluarkan garis panduan jelas bahawa khidmat iringan mestilah terhad kepada anggota keselamatan, bukannya yang tidak masuk seperti pihak penguat kuasa kerajaan tempatan,” katanya.
Terdahulu, tular klip video yang mendakwa anak Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menggunakan khidmat polis pengiring di Pulau Pinang.
Pengguna media sosial berkongsi klip video yang dikatakan memaparkan insiden berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat dikesan dimuat naik pemilik akaun Instagram ‘anwarazeez’.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

