Rayuan KKM kepada pemilik lembu

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merayu pemilik lembu supaya menjaga haiwan ternakan mereka supaya tidak mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Rayuan itu dimuat naik KKM menerusi satu hantaran di Facebook, susulan kemalangan membabitkan ambulans kementerian itu yang merempuh lembu melintas ketika menghantar pesakit di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin di Melaka, pagi tadi.

“Wahai pemilik lembu sekalian, jagalah lembu anda. Jangan biar ‘berpeleseran’ tanpa arah tujuan  yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya. 

“Syukur kakitangan dan pesakit kami selamat dan cedera ringan tapi ambulans kami rosak,” menurut KKM menerusi hantaran itu.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, ambulans dari Klinik Kesihatan Sungai Rambai dalam perjalanan ke Hospital Melaka.

Ambulans itu membawa pesakit lelaki berusia 40 tahun dan seorang Penolong Pegawai Perubatan.

Susulan kemalangan itu, pemandu mengalami sakit di lutut kiri manakala pesakit dan PPP dilaporkan tidak cedera, lembu tersebut pula mati. – Malaysiapost