Fitri Nizam
PEMUDA Umno mengingatkan rakan gabungan jangan melampau kerana parti Melayu terbesar itu masih ada maruah.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Umno sudah banyak mengalah sejak pembentukan kerajaan baharu yang dinaungi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, ketika hendak menyelamatkan kerajaan persekutuan, Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 43 Ahli Parlimen berjiwa besar mengalah kepada Bersatu untuk mengangkat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Waktu nak tubuhkan kerajaan Perak, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 25 Adun berjiwa besar, tetap mengalah kepada Bersatu yang hanya ada empat kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Faizal Azumu sebagai MB (Menteri Besar).
“Waktu nak tubuhkan kerajaan Sabah, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 14 Adun berjiwa besar, sekali lagi mengalah kepada Bersatu yang hanya ada 11 kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Hajiji Noor sebagai KM (Ketua Menteri),” katanya pada satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau menasihatkan supaya sekutu Umno dan BN bersahabat dan berpakat secara jujur serta ikhlas.
“Jangan melampau! Ahli-ahli Umno juga ada maruah. Tidak selamanya juga kami boleh mengalah.
“Biarpun tidak diharap sebarang penghargaan mahupun pujian, saya tetap tabik hormat kepada seluruh jentera Umno-BN di akar umbi yang bekerja keras.
“…bukan sahaja di kawasan BN bertanding bahkan turut membantu memenangkan calon-calon Bersatu atas bendera Perikatan Nasional di kawasan yang hakikatnya menjadi tradisi kubu kuat Umno-BN hampir 30 tahun,” katanya. – Malaysiapost

