PRN Sabah: Bung Moktar beri penjelasan isu Ketua Menteri

0
1

PENGERUSI Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan beliau mengambil tanggungjawab atas kegagalan Umno negeri itu menjadi Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag itu meminta pemimpin dan ahli parti itu tidak menyalahkan Presiden Umno berikutan kegagalan itu.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Presiden yang telah bertungkus-lumus dari awal kempen dan sentiasa berkomunikasi dengan saya.

“Begitu juga Naib Presiden serta SUA di sini yang menyokong saya untuk menjadi Ketua Menteri Sabah sehingga saat-saat akhir tetapi saya terpaksa menerima keputusan ini atas permintaan Umno Sabah.

“Saya harap rakan semua tidak menyalahkan Presiden atau mana-mana pihak di atas perkara yang berlaku. Saya mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Hari ini, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dinamakan sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 dan majlis angkat sumpah dijadualkan pada jam 10.30 pagi esok.

Jelas Bung Moktar, Umno Sabah terpaksa memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menamakan Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas mengambil kira pencapaiannya yang hanya memenangi 14 kerusi.

Beliau menjelaskan pihaknya terpaksa akur bahawa parti yang menang lebih banyak kerusi diberi jawatan berkenaan.

Katanya, walaupun pihaknya ada menghantar cadangan nama calon Ketua Menteri daripada Umno kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk dipertimbangkan, beliau menerima kedudukan sebenar parti itu.

Beliau turut mengakui tidak gembira dengan pencapaian Barisan Nasional (BN) pada PRN itu.

“Walaupun saya selaku Ketua Umno Sabah tidak berapa gembira dengan kemenangan yang BN menangi, tetapi saya reda dan terima ketentuan Allah SWT dengan hanya 14 kerusi saja yang kita menangi disebabkan beberapa faktor yang kita semua fahami.

“Saya juga ingin memaklumkan berkenaan jawatan Ketua Menteri, Umno Sabah telah menghantar cadangan Ketua Menteri kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah semalam.

“Namun, memandangkan BN hanya menang 14 kerusi manakala PN Plus menang 23 kerusi, pihak kita terpaksa menghormati demokrasi parti yang menang banyak kerusi perlu menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Bung Moktar berkata semua Adun BN memintanya untuk menjadi kerajaan kerana tidak sanggup menjadi pembangkang.

“Saya selaku Ketua Umno Sabah terpaksa menghormati permintaan mereka,” katanya.

Jelasnya, Umno Sabah tidak akan ke mana tanpa bantuan Presiden dan rakan selain menegaskan tumpuan selepas ini ialah untuk menghapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost