Pejuang belum dapat kelulusan ROS

0
1

Fitri Nizam

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Ketika memaklumkan perkara itu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penubuhannya, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata ROS memaklumkan mengenai beberapa pindaan yang perlu dibuat pada permohonan pendaftaran.

Bagaimanapun, beliau berkata, pindaan itu adalah berkaitan isu teknikal kecil yang akan diselesaikan dengan kadar segera.

“Saya telah bertemu dengan ROS pagi tadi. Saya dimaklumkan mengenai beberapa pindaan yang perlu dibuat terhadap permohonan pendaftaran Pejuang yang telah diserahkan kepada ROS pada 19 Ogos lalu.

“Saya yakin pendaftaran Pejuang akan segera mendapat kelulusan setelah pindaan tersebut dilakukan,” katanya.

Pejuang adalah parti diasaskan Dr Mahathir selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan apabila parti lamanya iaitu Bersatu mengambil keputusan untuk meninggalkan pakatan itu. – Malaysiapost