PH gesa KPM segera atasi isu bebanan guru

0
2
Persekolahan dibuka semula hari ini selepas ditutup pada 9 November 2020 menyaksikan murid pra sekolah, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Darjah 1 dan 2 di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, Rawang. Menariknya seorang cikgu memakai maskot kucing bagi menghiburkan murid-murid yang hadir hari ini.

JAWATANKUASA Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertindak segera memastikan bebanan guru dikurangkan termasuk isu membabitkan warden asrama.

JKPPH dalam satu kenyataan hari ini, mendawa pelbagai keluhan diterima daripada guru-guru berkaitan bebanan tugas mereka yang begitu banyak sehingga menjejaskan tumpuan mereka untuk mendidik.

“Antaranya berkaitan guru yang ditugaskan menjadi warden di asrama dalam sekolah-sekolah dibawah KPM yang masih belum selesai.

“JKKPH mengambil maklum adanya usaha awal KPM untuk mengatasi masalah ini dengan turun melihat sendiri keadaan sebenar dan mengambil maklum keluhan guru yang terbeban sebagai warden.

“Namun, sehingga hari ini masih belum ada keputusan yang jelas apa tindakan yang KPM akan ambil untuk menyelesaikan masalah tersebut,” menurut kenyataan itu.

Menurut JKPPH, memandangkan hujung minggu ini, proses kemasukan pelajar berasrama penuh akan berjalan, maka wajar KPM mengumumkan langkah bagi memastikan guru yang memikul tugas warden tidak terbeban.

JKPPH mencadangkan beberapa perkara bagi mengatasi isu berkenaan antaranya, jawatan warden sepenuh masa di asrama dilantik oleh bukan guru di mana kedudukannya sama dengan kedudukan jawatan jurulatih sepenuh masa, kaunselor berdaftar dan pembantu makmal.

“Manakala guru warden boleh dilantik di kalangan guru akademik (jumlah masa mengajar dikurangkan) yang bertugas memimpin dan memantau warden sepenuh masa di asrama.

“Jumlah warden dengan nisbah jumlah pelajar mestilah realistik dan mencukupi. Dalam masa terdekat, tindakan awal & wajar KPM adalah dengan menaikkan elaun warden kepada guru yang memikul tugas tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here