WAKIL rakyat DAP selama dua penggal, Dr Ong Kian Ming hari ini mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ahli Parlimen Bangi itu berkata keputusan tersebut dibuat untuk berehat daripada barisan hadapan politik.
Bagaimanapun katanya, beliau belum bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu.
“Walaupun keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan saya untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukanlah sebab utama untuk keputusan ini.
“Ketika mula-mula ditawarkan menjadi calon bagi kerusi parlimen Serdang (PRU13), persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya.
“Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya telah memberikan yang usaha sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara.
“Kini tiba masanya untuk generasi muda dalam parti mengambil alih tampuk kepimpinan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada masa sama, Kian Ming berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP baharu dan menggesa semua ahli dan pemimpin parti untuk menunjukkan sokongan penuh.
“Saya percaya Anthony dan barisan pimpinan parti akan terus memberi peluang kepada ahli dan pemimpin lebih muda untuk berkhidmat kepada parti dalam pelbagai kapasiti termasuk untuk diletakkan sebagai calon dalam PRU15.
“Saya akan beri sokongan penuh kepada sesiapa sahaja dinamakan parti sebagai calon P102 Bangi dalam PRU15.
“Sementara itu, saya akan meneruskan tanggungjawab khidmat rakyat saya di Bangi dan dalam parti sehinggalah parlimen dibubarkan,” katanya.
Dalam pemilihan CEC baru-baru ini, Kian Ming dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang sebelum ini menyokong kerjasama politik dengan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu, gagal mempertahankan kedudukan mereka.
Mereka mendapat kritikan hebat tahun lalu selepas mencadangkan Pakatan Harapan (PH) perlu melihat rangka kerja dicadangkan untuk kerjasama politik dua parti dikemukakan Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri, beberapa hari sebelum beliau meletak jawatan pada Ogos.
Mengulas lanjut, Kian Ming berkata beliau sedia berkhidmat kepada parti dan negara pada masa hadapan jika khidmatnya diperlukan.
Untuk jangka masa terdekat, selepas PRU15, jelasnya, beliau merancang untuk berehat dan meluangkan masa dengan bersenam, membaca, dan merenung semula bagaimana dan di mana dapat manfaatkan pengetahuan dan kemahiran dalam tempoh sembilan tahun lalu dengan sebaiknya. – Malaysiapost

