Kelantan perlu RM7b untuk selesai masalah air

0
2

KERAJAAN Kelantan memerlukan sekitar RM7 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata jumlah itu diperlukan bagi menukar sistem paip lama melibatkan jarak 5,000 kilometer, serta pembinaan loji baharu.

Beliau mengakui, kerajaan negeri telah berusaha bagi mengatasi masalah bekalan air bersih selama 30 tahun.

Namun beliau mendakwa, pertikaian politik dengan kerajaan Persekutuan menjadi punca negeri itu tercicir menerima peruntukan, termasuk isu pembatalan projek air Kelantan Utara bernilai RM600 juta pada 1990.

“Sekarang ini, keperluan kita RM7 bilion untuk memulihkan isu air di Kelantan, dengan tukar paip, apa semua sekali, kita tak dapat.

“Sedangkan masa itu, Pulau Pinang dapat RM2 bilion sehingga siap Empangan Mengkuang Penang dan tak ada masalah air sekarang ini.

“Selepas itu, isu migrasi. Peruntukan yang sepatutnya sampai, tak sampai. Ada banyak isu. Saya ada rekod semuanya. Kena faham di Malaysia ini, tak ada satu negeri yang boleh selesaikan masalah air secara sendirian,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Mohd Amar berkata, kerajaan Kelantan tidak mampu mengatasi masalah air tanpa bantuan kerajaan Persekutuan.

Berikutan itu, beliau berharap, kerajaan Persekutuan dapat bantu menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here