Selepas bertukar-tukar parti, Ezam kini sertai Berjasa 

0
2

SELEPAS sering bertukar-tukar parti, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Datuk Ezam Mohd Noor kini menyertai Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sebagai platform terbaharu wadah politiknya. 

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung Berjasa, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad yang memaklumkan Ezam telah mendaftar sebagai ahli parti tersebut pada 1 Mei lalu. 

Menurut Muhammad Lukman, penyertaan Ezam ternyata menjadi bualan ramai, walaupun sebenarnya ia tidaklah begitu mengejutkan kerana Berjasa telah mencatat peningkatan keahlian memberangsangkan sejak setahun lalu. 

“Berjasa yang terkenal sebagai sebuah parti kepimpinan baharu yang menampilkan gaya politik berteraskan integriti, hikmah dan mempertahan watan sentiasa terbuka dan berbesar hati menerima mana-mana tokoh politik mahupun figura nasional yang bersetuju dengan agenda serta prinsip parti. 

“Berjasa juga sentiasa terbuka dalam membentuk permuafakatan politik baharu lebih segar, sebagai solusi kepada kemelut kredibiliti dan konflik kestabilan politik yang melanda negara disebabkan ketamakan parti-parti utama besar negara. 

“Semoga dengan penyertaan Ezam akan dapat merancakkan lagi gerak kerja parti terutama menjelang PRU15 akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Ezam suatu ketika adalah Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Selatan sebelum menyertai PKR ketika era reformasi pada 1998 dan masuk Umno semula pada 2008. 

Pada 2019 beliau menjadi Presiden Penaja Parti Negara dengan objektif melawan rasuah dan terbaharu sekitar tahun lalu menjadi Presiden Penaja Parti Integriti Negara Bangsa (Integriti). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here