DAKWAAN Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkenaan tambang Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) enam kali ganda lebih tinggi berbanding tiket pesawat adalah bersifat spekulatif dan tidak berasas.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata perbincangan yang masih berjalan di peringkat kerajaan adalah bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara berbanding kadar tambang dikenakan perkhidmatan ETS KTMB di Pantai Barat Semenanjung.
“Sepertimana diketahui, kadar tambang ETS amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung.
“Penetapan kadar tambang ECRL adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat.
“Secara dasarnya, kadar tambang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan.
“Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ka Siong berkata kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengenakan tambang tinggi bagi perkhidmatan penumpang untuk memperoleh semua kos pembinaan ECRL memandangkan ini adalah projek untuk rakyat yang sudah pasti tidak membebankan.
Malah katanya, menerusi perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri-industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70 peratus daripada sumber pendapatan ECRL apabila ia bakal beroperasi pada tahun 2027 kelak.
“Sama seperti laluan kereta api lain yang beroperasi di Malaysia, struktur tambang ECRL perlu mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum ia beroperasi.
“Ini selaras keperluan Akta Pengangkutan Awam Darat dan Lesen Operator Keretapi di bawah bidang kuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai pengawal selia,” katanya.
Semalam Azan menggesa kerajaan meneliti aspek kemampuan rakyat membayar tambang ECRL yang dijangka siap pada penghujung 2026.
Azan mendakwa tambang ECRL dijangkakan mahal ekoran kos pembinaannya yang tinggi ketika rakyat negeri-negeri pantai timur menyambut baik pelaksanaannya kerana dijangka dapat selesaikan kesesakan lalu lintas.
“Walaupun, mampu atasi kesesakan tetapi adakah rakyat mampu bayar tambang yang mencecah enam kali ganda tambang pesawat ke destinasi yang sama?
“Adakah negara mampu menanggung jumlah hutang baru yang bakal dibebankan kepada generasi akan datang?,” soalnya. – Malaysiapost

