Harga tambang ECRL akan munasabah – Najib

0
2

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan jangkaan tambang perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap penghujung 2026 akan mencecah enam kali ganda tambang pesawat ke destinasi sama adalah sesuatu yang ‘gila’.

Menurutnya, jika keadaan itu berlaku seluruh rakyat pantai timur Malaysia akan marah sekiranya harga tambang tinggi melambung seperti itu.

“Macam mana orang PH (Pakatan Harapan) ni boleh keluarkan kenyataan seperti ini? Siapa yang buat pengiraan untuk dia? Formula siapa yang kamu pakai?

“Kononnya harga tambang keretapi ECRL akan enam kali ganda lebih tinggi berbanding tambang pesawat? Takkan syarikat ECRL gila? Tidak. Kerajaan dan ECRL tak gila. Yang gila adalah orang PH yang keluarkan kenyataan macam ini?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media berhubung kenyataan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang menjangkakan tambang ECRL akan mahal ekoran kos pembinaannya yang tinggi.

Najib berkata, kos projek ECRL adalah tinggi tetapi harga tambang akan munasabah dan berpatutan sebab sumber pendapatan projek ECRL bukan sahaja dari kutipan tambang pengguna.

“Bahagian terbesar sumber pendapatan dan trafik ECRL adalah dari pengangkutan barang-barang. Pengangkutan dua hala dari pelabuhan Kuantan ke pelabuhan Klang.

“Dengan ini, kapal-kapal tidak perlu melalui negara Singapura. Satu lagi sumber pendapatan ialah projek-projek pembangunan berorientasikan pengangkutan (TOD) di sepanjang jajaran ECRL,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya pihak PH akhirnya mengaku bahawa projek ECRL adalah baik dan mampu menyelesaikan kesesakan trafik jalan raya masa perayaan besar.

“Dulu mereka juga yang kata ini projek ‘songlap’. Tapi lepas jadi kerajaan, PH kata tak ada songlap pulak. Cuma kos tinggi. Lalu PH pun batalkan stesen-stesen, kurangkan jarak jajaran sehingga kos turun dari RM55 bilion ke RM44 bilion.

“Lalu ditambah balik jajaran oleh kerajaan PN (Perikatan Nasional) sehingga naik ke lebih RM50 bilion, tapi masih lebih pendek berbanding pelan asal kerajaan BN (Barisan Nasional) dan landasan ECRL tidak lagi sampai ke sempadan Thailand,” katanya.

Beliau turut mendakwa, disebabkan gangguan daripada PH semasa mereka memerintah dan projek dihenti, ditangguh dan diperlambatkan, ECRL tidak akan beroperasi pada tahun 2024 seperti rancangan kerajaan BN dulu.

“Ditangguh ke Disember 2026 pulak. Maka Rakyat pun perlu bertahan kesesakan trafik setiap kali masa perayaan untuk lebih dua tahun lagi.

“Pembangunan ekonomi negara dan pantai timur juga tergendala selama dua tahun. Syabas PH,” perlinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here