SEORANG penganggur ditahan kerana dipercayai melakukan ugutan dan mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis di Kota Belud, Sabah, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata kejadian jam 10.55 pagi itu bermula selepas suspek berusia 22 tahun bertindak mengambil gambar anggota polis trafik yang sedang mengeluarkan saman atas kesalahan trafik.
“Perbuatan lelaki tersebut telah ditegur salah seorang anggota polis trafik dan suspek mula berang lalu mengeluarkan kata-kata ancaman mahu membunuh anggota polis terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrudin berkata, anggota polis yang berada di tempat kejadian cuba menenangkan lelaki tersebut namun bertindak membuka bonet belakang keretanya lalu mengambil sebatang paip besi dan cuba menyerang anggota yang sedang bertugas.
“Semasa tangkapan dibuat berlaku pergelutan kecil di mana suspek telah menendang peha salah seorang anggota trafik,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan direman pada hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

