Kejayaan JDT wajar dicontohi pasukan lain – Zahid

0
2

KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membuktikan kejayaan tidak boleh dicipta tanpa keazaman yang tinggi dan perancangan yang rapi. 

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata JDT telah membuktikan tiada yang mustahil untuk kelab dari Malaysia mencipta kejayaan di peringkat tertinggi Asia. 

“Sekali lagi tiada yang mustahil dengan aspirasi, iltizam dan semangat yang jitu berpandukan hala tuju yang jelas untuk mencapai misi dan visi.

“Tahniah Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah kelab bola sepak Malaysia pertama layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL),” katanya di Facebook, hari ini. 

JDT yang dibimbing Benjamin Mora mencetuskan sensasi apabila layak ke pusingan kedua ACL kali pertama selepas mengecewakan gergasi Korea Selatan Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam. 

Pemain pertahanan Ulsan Hyundai menjaringkan gol sendiri pada masa kecederaan separuh masa kedua sekali gus menghadiahkan kemenangan yang bermakna kepada JDT. 

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap kejayaan JDT ini dapat dijadikan contoh dan pembakar semangat kepada pasukan lain di Malaysia untuk menempa pelbagai kejayaan lagi pada masa hadapan. 

“Mara ke pusingan 16 terbaik ACL selepas menewaskan juara dua kali Ulsan Hyundai 2-1 dalam pertembungan yang cukup sengit dan mendebarkan.

“Saingan seterusnya di kejohanan ACL tentunya lebih sengit, namun tiada yang mustahil dalam sukan bola sepak kerana bola itu bulat.

“Semoga pada masa depan lebih banyak pasukan bola sepak dari Malaysia akan menjejaki pencapaian JDT beraksi di pentas ACL. Good luck JDT!” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here