PEMBUKAAN semula sempadan memberi ruang kepada pengambilan semula tenaga kerja asing dalam sektor-sektor tertentu yang diperlukan oleh majikan terutamanya dalam sektor 3D iaitu kotor, berbahaya dan sukar.
Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan berkenaan bukan berhasrat untuk membelakangkan pekerja tempatan.
“Susulan itu, satu mekanisme komprehensif akan dirangka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing supaya warga tempatan diberi keutamaan terlebih dahulu.
“Justeru, Kementerian Sumber Manusia telah diminta supaya meneliti dan mengkaji aspek ini agar pekerja tempatan mendapat manfaat dengan menambah baik kadar gaji, pakej pekerjaan dan kemajuan kerjaya,” katanya,
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM, hari ini.
BACA LAGI: Kerajaan hargai sumbangan pekerja Keluarga Malaysia – PM
Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut telah melancarkan portal UPSkills Malaysia untuk pekerja meningkatkan kemahiran.
Katanya, portal itu juga menjadikannya pusat rujukan tunggal yang menghimpunkan maklumat 6,143 penyedia latihan meliputi 35 bidang kemahiran.
Tambahnya, kerajaan juga bertegas dalam melindungi hak pekerja tempatan dan asing terutamanya isu berkaitan buruh paksa.
“Sehubungan itu, Kerajaan telah meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen Kerajaan untuk menghapuskan buruh paksa di negara ini.
“Ratifikasi ini satu tindakan proaktif Kerajaan dalam memastikan produk dan barangan Malaysia tidak lagi dikenakan sekatan masuk ke pasaran antarabangsa kerana didakwa menggunakan buruh paksa dalam pengeluaran barangan negara ini,” katanya. – Malaysiapost

