Fitri Nizam
KERAJAAN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 12 Oktober ini.
Keputusan itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas sebanyak 1,195 kes Covid-19 direkodkan di empat daerah ini dalam tempoh 1 hingga 27 September lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).
“PKPDB secara pentadbiran ini akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini pada 29 September sehingga 12 Oktober 2020 dan akan melibatkan seramai 962,661 penduduk.
“Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
“Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan (essentials) di empat daerah terlibat.
“Pengkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPDB,” katanya.
Selain itu, Ismail berkata, semua laluan keluar masuk kawasan PKPDB ditutup.
“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.
“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya. – Malaysiapost

