Dua bot bersama 18 kru warga Vietnam ditahan

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menahan dua bot nelayan asing bersama 18 kru warga Vietnam di perairan berhampiran Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata dua bot nelayan asing ditahan semasa kapal Maritim Malaysia melaksanakan rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di sekitar perairan Terengganu.

Menurutnya, bot pertama ditahan pada jam 2.30 petang, 27 April lalu di kedudukan lebih kurang 97 batu nautika barat laut Kuala Terengganu dipercayai bot nelayan asing Vietnam dengan nombor pendaftaran asing beserta tiga kru termasuk tekong.

“Bot kedua, ditahan di kedudukan lebih kurang 98 batu nautika barat laut Kuala Terengganu beserta 15 kru termasuk tekong sekitar jam 3.20 petang hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut dikendalikan 18 kru termasuk tekong, warga Vietnam berusia antara 19 hingga 56 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tekong kedua-dua bot juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.

“Dua bot serta kru, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 2200 liter dan tiada hasil tangkapan seterusnya ditahan dan diiringi masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Proses mengiringi masuk ke jeti Maritim Negeri Terengganu mengambil masa lebih 26 jam,” katanya.

Muhammad Suffi berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3 juta dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here